fb fb fb fb fb

Perkasa PLKK SPKR KEDA, tingkat kemahiran kumpulan sasar

Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff/ Foto KEDA

SUNGAI PETANI, 1 Januari - Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sejak tahun 2023 akan terus diperkasa.
 
Ia bagi meningkatkan kemahiran kumpulan sasar supaya mereka mampu mendapat pekerjaan atau mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan lebih tinggi dan seterusnya mengeluarkan mereka serta keluarga daripada belenggu kemiskinan.

Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff berkata, PLKK menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar mengikuti kursus jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk kemahiran asas Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) Sijil Kemahiran Malaysia Tahap I, II dan III.
 
Bagi tahun 2023, KEDA menerima peruntukan berjumlah RM600,000 bagi melaksanakan lima kursus manakala pada tahun 2024, KEDA telah menerima peruntukan sebanyak RM532,970 melibatkan sembilan kursus.

"Jadi inilah antara teknologi-teknologi yang ditekankan pihak KEDA bagi memastikan bahawa kebolehpasaran pelajar kita apabila kita melatih mereka itu dapat diterima oleh industri.

"Itulah sebabnya kita berkolaborasi dengan Pusat Pengurusan dan Kemahiran Industri Kedah (Kismec) yang mempunyai hubungan baik dengan pihak industri. Jadi kita merasakan bahawa inilah masa yang tepat untuk menjadikan TVET sebagai pilihan pertama untuk permintaan pekerjaan di masa akan datang," kata Ismasuhaimi.
 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Peserta Tajaan KEDA PLKK tahun 2023, di sini.
 
Seramai 57 peserta telah tamat latihan pada Disember 2024 bagi Kursus Industrial Automation (Mechatronics); Kursus Industrial Electronics dan Kursus Industrial Electrical menerima sijil masing-masing.
 
KEDA telah bekerjasama dengan Kismec Training dan Consultancy Sdn Bhd yang merupakan salah satu syarikat Penyedia Latihan dan Perunding bertauliah dan berpengalaman luas dalam melatih pekerja-pekerja dalam Bidang Perindustrian ke 4 atau IR 4.0 untuk menjayakan Program PLKK ini.
 
Kos bagi seorang peserta bagi kursus ini adalah sebanyak RM4,600 merangkumi yuran pengajian, bahan latihan, insurans perlindungan diri, elaun sara diri peserta, makan minum dan penginapan.

TETITIA YUSOFF