fb fb fb fb fb

261 penduduk hilang tempat berteduh, rumah musnah dijilat api

Skim Perumahan Masyarakat Pelarian (SPMP) Muslim, Jalan Batu Arang musnah dalam kebakaran

LABUAN, 1 Januari - Sebanyak 42 rumah yang didiami kira-kira 261 penduduk di Skim Perumahan Masyarakat Pelarian (SPMP) Muslim, Jalan Batu Arang, musnah dalam kebakaran yang berlaku pagi tadi.

Dalam kejadian itu, dua mangsa dilaporkan cedera, seorang mengalami kecederaan ringan di kaki dan bahu, manakala seorang lagi melecur di bahagian belakang badan dan dihantar ke Hospital Labuan untuk rawatan lanjut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan, Abd. Rahman Ali, berkata pihak bomba menerima panggilan pada pukul 10.47 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada 10.52 pagi.

"Kebakaran yang berlaku hanya 2.5 kilometer dari balai bomba terdekat itu berjaya dikawal pada pukul 11.39 pagi.

"Operasi memadam kebakaran melibatkan 33 anggota bomba dan tujuh jentera penyelamat dari Balai Bomba Labuan Sentral, BBP Layangan, dan BBP Rancha-Rancha," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Abd. Rahman turut memaklumkan bahawa punca kebakaran masih dalam siasatan. Beberapa agensi lain turut terlibat dalam operasi tersebut, termasuk pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), SESB, dan Bahagian Bekalan Air.

GRACE AISYAH KEDAYAN