fb fb fb fb fb

Prestasi sektor agromakanan berkembang 0.3 peratus

Datuk Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Prestasi sektor agromakanan menunjukkan pertumbuhan positif dengan berkembang 0.3 peratus kepada nilai RM43.3 bilion.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sektor tersebut meliputi pertanian, pembuatan dan perkhidmatan bagi suku tahun pertama 2024 dan ia susulan keberkesanan strategi dalam mengurus sistem bekalan makanan negara yang menunjukkan pertumbuhan positif.

"Nilai ditambah ini memberi sumbangan signifikan iaitu sebanyak 10.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

"Prestasi ketiga-tiga sektor agromakanan merekodkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu 1.6 peratus bagi sektor pertanian, 0.5 peratus bagi sektor pembuatan dan 3.9 peratus bagi sektor perkhidmatan," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Seri Dorris Sophia berkenaan keberkesanan strategi untuk mengurus (jika ada) dan cara meningkatkan sistem bekalan makanan Malaysia termasuk dalam pemantauan keselamatan makanan, pengurusan sisa makanan dan peningkatan produk makanan tempatan

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang memperluaskan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) serta memperkasakan industri Akuakultur dalam meningkatkan hasil pertanian dan agro makanan.

Ketika menjawab soalan tambahan daripada Dorris Sophia berkenaan langkah yang diambil oleh pihak kementerian bagi melaksanakan strategi baru dalam memastikan rantaian bekalan makanan negara dapat ditambah dan dijamin serta mampu menggantikan bekalan makanan yang terpaksa diimport dari luar negara.

Arthur memaklumkan pihaknya akan memastikan rantaian makanan sentiasa mencukupi selain Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi penekanan yang komprehensif terhadap Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) yang mula diperkenalkan tahun ini.

Perkara itu bertujuan melaksanakan pembudayaan inovasi dalam pelbagai sektor terutama dalam sektor tanaman ternakan, perikanan serta industri asas tani.

"Bagi kesinambungan jaminan makanan negara, pada tahun lalu kita telah melancarkan lima hala tuju bagi memperkasakan industri agrokultur, memperluaskan lembu fidlot dan pembiakbajaan penamaan jagung bijian.

"...penglibatan belia dan permerkasaan institusi latihan pertanian untuk memastikan kita mempunyai cukup tenaga mahir untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI