fb fb fb fb fb

PETARA pastikan kebun terbiar diusahakan semula

Datuk Rubiah Wang

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Model Pengeluaran Getah Negara (PETARA) diwujudkan sebagai satu dasar dan garis panduan bagi memastikan kebun terbiar diusahakan semula.

Perkara itu dilihat sebagai langkah ke arah meningkatkan pengeluaran getah negara terutamanya lateks.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, bagi mengekalkan kawasan penanaman getah sebanyak 1.15 juta hektar, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) komited berusaha menyediakan pelbagai bantuan dan subsidi.

"Bantuan yang disediakan dalam pelaksanaan PETARA adalah dalam bentuk pemberian peralatan menoreh, bahan input pertanian, bantuan sokongan pemasaran, insentif pengeluaran dan peningkatan produktiviti serta insentif tenaga kerja," katanya.

Rubiah menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas berkenaan hala tuju penanaman getah di Malaysia terutama melibatkan kebun terbiar, harga getah dan kebajikan pekebun-pekebun kecil serta status terkini bangunan RISDA Mersing.

Dalam pada itu, tiga program dilaksana bawah PETARA bagi meningkatkan produktiviti, sokongan pemasaran serta pemulihan kebun-kebun getah terbiar.

Tiga program itu ialah program Pengeluaran Hasil Getah Matang (PHGM), Program Fasiliti Pemasaran Getah (FASGET) dan Program Pemulihan Kebun Getah Terbiar (PGT).

Rubiah berkata, RISDA juga sentiasa prihatin terhadap kebajikan pekebun kecil dengan menyediakan program untuk meningkatkan pendapatan dan sara hidup golongan itu.

"Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Pembangunan Keusahawanan yang memperuntukkan sejumlah RM 65 juta kepada 8,000 orang usahawan pekebun kecil yang menjalankan aktiviti perniagaan dan keusahawanan.

"Program Hasil Baharu yang memperuntukkan sejumlah RM28 juta kepada 1,375 orang pekebun kecil yang menjalankan aktiviti pertanian selain getah yang berbentuk tanaman jangka pendek dan penternakan," katanya.

Selain itu, Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) turut diperuntuk sejumlah RM264 juta kepada 331,142 orang pekebun kecil dan penoreh yang terjejas akibat musim tengkujuh.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI