PNOMH PENH, 24 Februari - Prestasi ekonomi Malaysia mula menampakkan perkembangan positif. Ia berada pada landasan dan unjuran baik bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan dan Bank Negara Malaysia, ekonomi negara berkembang sebanyak 3.1 peratus pada 2021, berbanding penguncupan 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.
"Walaupun impak besar kepada ekonomi tetapi kita masih mampu untuk mengembangkan dari segi ekonomi kita, malah pelaburan langsung asing (FDI) merekodkan peningkatan pada tahun 2021melebihi RM50 bilion berbanding tahun 2020 sebanyak RM14.6 bilion.
"Indikator positif memberi gambaran negara sedang menuju ke arah pemulihan ekonomi seterusnya memncapai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.5 peratus sehingga 6.5 peratus bagi tahun 2020, ini selari dengan unjuran yang dibuat oleh IMF dan bank dunia," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis makan malam bersama Keluarga Malaysia di Kemboja.
Tambah Ismail, ke arah mencapai matlamat tersebut, kerajaan turut melancarkan Program Jamin Kerja dan Semarak Niaga bagi membantu Keluarga Malaysia yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Beliau menjangkakan kesan daripada inisiatif tersebut dapat dilihat menjelang hujung tahun ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa ahli perniagaan dan pelabur Malaysia di Kemboja untuk meneroka bidang baharu. Antaranya industri halal memandangkan terdapat kira-kira 800,000 masyarakat beragama Islam di negara ini.
"Di seluruh dunia produk halal ini bukan sahaja diterima oleh orang Islam tetapi bukan islam kerana dari segi kebersihan dan sebagainya jadi sebab itulah yang berkaitan dengan industri halal ini besar. kita disini mungkin boleh menerokai industri halal dan juga bidang lain seperti ekonomi digital, keselamatan cyber dan berbagai lagi yang boleh kita terokai akan datang," katanya.
Ismail turut berkongsi perkembangan mengenai program vaksinasi di Malaysia. Katanya, Malaysia antara negara terbaik di dunia dalam pemberian imunisasi COVID-19 kepada populasinya.
"97.5 peratus rakyat kita yang berumur lebih daripada 18 tahun telah divaksinasikan dengan sempurna iaitu 2 dos. Untuk remaja berumur 12 hingga 17 tahun lebih daripada 90 peratus telah divaksinasikan. Kita juga sedang memulakan vaksinasi untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun dan sehingga kini telah mencecah lebih 14 peratus," katanya.