PUTRAJAYA, 24 Februari - Individu positif COVID-19 atau menjadi kontak rapat yang sedang menjalani kuarantin disaran mengisi borang Penilaian Kendiri (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata individu bergejala perlu segera melakukan saringan dan memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) jika didapati positif.
Menerusi hantaran rakaman video di Facebook beliau, Khairy mengingatkan orang ramai segera menghubungi hospital atau fasiliti kesihatan terdekat sekiranya gejala bertambah teruk.
"Jika gejala bertambah serius seperti sukar bernafas, demam berpanjangan dan sakit dada, hilang selera makan sila hubungi atau terus ke fasiliti kesihatan terdekat. Terus amalkan TRIIS dan pakai pelitup muka," katanya.
Tambah Khairy, Tindakan itu perlu memandangkan semakin ramai yang dijangkiti wabak berkenaan dengan gejala ringan.