fb fb fb fb fb

Inisiatif baharu KTMB tingkat prestasi perniagaan

KUALA LUMPUR, 24 Februari - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan beberapa langkah proaktif bagi meningkatkan prestasi perniagaan mereka.

Usaha tersebut susulan penularan COVID-19 yang memberi kesan langsung kepada penurunan penggunaan perkhidmatan kereta api pada tahun 2020 dan 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata bilangan penumpang menunjukkan penurunan ketara sebanyak 80% berbanding tahun 2019.

"Terkini adalah pengenalan perkhidmatan tren sewa khas Ekspres Koc Basikal (XKB) yang dilancarkan pada 29 Januari lalu.

"Menerusinya, Program Familiarization Trip (FamTrip) bagi laluan Kuala Lumpur - Tanjung Malim menerima sambutan menggalakkan khususnya penggemar aktiviti sukan berbasikal.

"Impak daripada FamTrip itu, KTMB menerima maklum balas yang positif daripada rakyat," katanya ketika berucap pada Malam Bersama KTMB: Memperkasakan Standard dan Kualiti Perkhidmatan, di sini.

Tambahnya lagi, perkhidmatan kargo KTMB masih dapat mengekalkan momentum meski terdapat sedikit penurunan terutama pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Dalam pada itu, Mohd Rani berkata KTMB juga menawarkan pelbagai perkhidmatan koc untuk disewakan antaranya konference koc, salon koc, chillax koc dan event koc mengikut permintaan dengan kolaborasi bersama agensi pelancongan kerajaan dan swasta.

Pada masa yang sama, KTMB turut melanjutkan perkhidmatan tren baharu di sektor Pantai Timur, iaitu Diesel Multiple Unit (DMU) bagi perjalanan dua hala dari Kuala Lipis hingga ke Gemas bermula 21 Februari.

Ini termasuk mengeluarkan Request for Proposal (RFP) untuk sewaan 30 lokomotif dan 1,510 gerabak pada Oktober 2021 lepas yang kini di peringkat penilaian, selari hasrat kerajaan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45% pada 2050.

"Seiring dengan Revolusi Teknologi 4.0 "Automasi dan Pendigitalan" sebagai pemangkin ekonomi negara, kami juga menaik taraf sistem KTMB Integrated Ticketing Syatem (KITS) kami tanpa tunai dan dalam talian," katanya.

Media Baharu