PUTRAJAYA, 12 November – Prestasi negara yang kini menunjukkan perkembangan positif mencerminkan kerjasama erat dan efektif antara pimpinan politik serta penjawat awam, disokong oleh kestabilan politik dan pelaksanaan dasar yang berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pencapaian tersebut bukan sesuatu yang mudah dicapai memandangkan saiz ekonomi dan penduduk Malaysia yang sederhana.
"Kita bersyukur kepada Allah SWT, bahawa kesemua angka dan data terakhir sangat membanggakan, menyaksikan nilai pelaburan tertinggi, kadar pengangguran rendah, ringgit semakin kukuh, dan prestasi ekonomi terbaik di Asia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan penjawat awam supaya terus memperbaiki mutu perkhidmatan dan berusaha melampaui pencapaian sedia ada.
“Soalnya ialah kesatuan dan pentadbiran kita serta cabarannya. Bayangkan jika setengah juta penjawat awam bangkit dengan semangat baharu, kita bukan sekadar menyelamatkan, tetapi berusaha memastikan Malaysia terus muncul sebagai negara kompetitif yang hebat,” jelas beliau lagi.
Perdana Menteri turut menzahirkan kebanggaannya terhadap pasukan penjawat awam dan menyeru semua pihak untuk mengekalkan semangat kerjasama demi pembangunan negara, keluarga, dan kesejahteraan rakyat.
“Saya bangga bekerja dengan pasukan penjawat awam kerana kesungguhan mereka telah menjadikan negara dan keluarga kita lebih baik daripada sekarang. Memang tidak mudah kerana setiap hari kita akan berdepan masalah baharu, namun pencapaian ini cukup meyakinkan,” tambah beliau.
Datuk Seri Anwar berkata demikian dalam ucapan bersempena Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara 2025 di sini.