fb fb fb fb fb

Pemberian khas 40% hasil Sabah jelas dalam Perlembagaan

Pakar Perundangan dan Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 November - Isu berhubung hak Sabah terhadap pemberian khas sebanyak 40 peratus hasil yang diperoleh daripada negeri itu tidak sepatutnya menjadi pertikaian kerana peruntukannya jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Perundangan dan Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, perkara tersebut telah dijelaskan secara khusus dalam Jadual Kesepuluh Bahagian Keempat Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai pemberian khas kepada negeri Sabah dan Sarawak.

"Kita tahu bahawa Perlembagaan Persekutuan ini adalah undang-undang tertinggi.

"Maka hubungan antara Persekutuan dan Negeri itu juga adalah dimaktubkan dalam Perlembagaan," katanya ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menegaskan hak Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus hasil.

Menurut Datuk Dr Shamrahayu, Bahagian Keempat Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan menyebut tentang pemberian khas kepada negeri Sabah dan Sarawak.

Manakala butiran kedua memperincikan Sabah berhak menerima satu geran khas yang jumlahnya sama dengan dua perlima daripada hasil bersih yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan daripada negeri itu.

"Jadi tidak benar kalau kita kata hak 40 peratus itu, dua perlima itu telah diterjemahkan sebagai 40 peratus. Tidak benar juga kalau kita kata perkara itu tiada dalam Perlembagaan. Maknanya Perlembagaan itu jelas menetapkan 40 peratus," katanya.

Datuk Dr Shamrahayu berkata, tindakan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap isu pemberian khas tersebut menunjukkan komitmen kerajaan dalam menghormati dan melaksanakan peruntukan yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

"Saya percaya Kerajaan Persekutuan telah mengambil perhatian yang sewajarnya tentang peruntukan Perlembagaan ini dan tindakan untuk membuat rundingan segera itu boleh dibaca dengan melihat pada Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.

Tambahnya, keputusan kerajaan untuk meneruskan rundingan segera dan tidak merayu terhadap isu 40 peratus hasil itu selaras dengan semangat dan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

"Jadi tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan secara pantas dan tidak merayu kepada perkara 40 peratus itu, hal berkaitan dengan 40 peratus itu adalah menepati peruntukan Perlembagaan dan juga rundingan yang dilaksanakan dengan segera.

"Jadi ini bukan isu besar, tidak ada isu yang kata tidak ada hak dalam Perlembagaan dan sebagainya," tegasnya.

ROSLINA BINTI DIN