KERTEH, 29 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kerana mampu mempertahan integriti yang sangat tinggi sejak dahulu hingga kini.
Anwar berkata, prestasi Petronas kini sehingga mampu memberi pulangan ratusan bilion ringgit kepada negara tidak mungkin dapat dicapai sekiranya syarikat itu tidak mengamalkan pengurusan dan tatakelola yang baik serta cemerlang.
Jelasnya, keyakinan Arab Saudi untuk melabur di negara ini membuktikan Petronas adalah sebuah syarikat yang berintegriti tinggi.
"Bukan semua syarikat minyak di dunia ini mencatat kemajuan kalau pengurusannya lemah, itu minyak tiada sebab hendak rugi tetapi kalau pengurusan itu lemah dan ada gejala rasuah dan penyelewengan, syarikat minyak pun boleh rugi.
"Sejarah kita dari awal Petronas telah mencatat bukan sahaja kemajuan dan pulangan kepada syarikat dan kepada negara dengan pulangan dana dengan mencecah sehingga ratusan bilion ringgit," katanya.
Berucap pada Sesi Ramah Mesra Warga Petronas di Kompleks Petronas Pantai Timur, di sini, Anwar difahamkan syarikat minyak gergasi Saudi Aramco dijangka mengadakan mesyuarat lembaganya di Malaysia pada tahun depan.
Anwar berkata kerana keyakinan yang tinggi terhadap Petronas juga, Saudi Aramco berminat menjadikan Malaysia sebagai hab perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di Asia Tenggara.
"Ada syarikat gergasi minyak Aramco antara syarikat gergasi minyak terbesar di dunia beritahu saya tentang pelaburan di Pengerang, ada masalah sedikit, tetapi satu perkara yang menarik yang kemudian saya maklumkan kepada Tan Sri Hassan Merican (Penasihat Petronas) dan pada Tengku Muhammad Taufik (Ketua Pegawai Eksekutif Petronas) dan mereka kata mahu jadikan pelaburan Aramco di Pengerang bersama Petronas dan Malaysia sebagai hab penting bagi pelaburan Arab Saudi di Malaysia dan untuk rantau ini," kata Anwar.