SEREMBAN, 29 November- Kerajaan Negeri Sembilan optimis mampu mencatatkan pelaburan baharu dianggarkan berjumlah RM7 bilion pada tahun ini melihat kepada momentum perolehan pelaburan baharu yang diterima.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, negeri ini mencatatkan prestasi pelaburan yang kekal positif pada suku kedua tahun ini sebanyak RM1.95 bilion, kenaikan 24 peratus berbanding suku kedua 2022 berjumlah RM1.48 bilion.
“Daripada jumlah prestasi pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Negeri Sembilan, sebanyak RM0.38 bilion adalah pelaburan asing manakala RM1.57 bilion daripada pelaburan tempatan.
“Negeri ini juga mengunjurkan tambahan rekod pelaburan sebanyak RM5 bilion lagi bagi tahun ini dan akan mencatatkan anggaran rekod pelaburan berjumlah RM7 bilion,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Aminuddin berkata kerajaan negeri juga dijangka menerima industri baharu yang disifatkan sangat penting dalam pasca baharu pelaburan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Kita telah bersedia dan perbincangan masih berjalan. Selepas mendapat persetujuan dengan syarikat itu, saya akan mengumumkan perkara ini. Apa yang boleh saya katakan, pelaburan ini adalah antara yang ditunggu oleh kebanyakan negeri dan akan bermula di negeri ini,” katanya.