SEPANG 18 Disember- Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi bermula hari ini sehingga esok.
Ketibaan beliau di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.20 malam itu diiringi 17 delegasi yang lain.
Beliau turut disambut mesra Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Tujuh Timbalan Perdana Menteri termasuk salah satunya merangkap Menteri Luar Negeri, Rashid Meredov serta empat menteri kabinet antaranya Menteri Pertahanan Maksat Babayev, Menteri Kebudayaan Atageldi Shamyradov dan Menteri Pertanian Charyyar Chetiyev serta pegawai kanan dari Pejabat Presiden dan Kementerian Luar Negeri.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Turkmenistan pada Mac 2022.
Kunjungan delegasi Turkmenistan seramai 70 orang termasuk pegawai khas dan media merupakan kunjungan balas selepas lawatan kerja Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan ke negara itu September lalu.
Majlis sambutan rasmi Berdimuhamedow dijadualkan berlangsung esok di Bangunan Perdana Putera, Putrajaya diikuti mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua rakan sejawatan itu dijangka membincangkan isu dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, kerjasama minyak dan gas, pendidikan tinggi, pelancongan dan keterhubungan, selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun depan.
Antara Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Turkmenistan meningkat dengan ketara sebanyak 74.8 peratus kepada RM63.28 juta (AS$13.90 juta) berbanding RM36.19 juta (AS$7.91 juta) untuk tempoh yang sama pada tahun 2023.
Pada tahun 2023, Republik Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tengah, dengan jumlah dagangan bernilai RM48.62 juta (AS$10.57 juta).