KUALA LUMPUR, 18 Disember- Cadangan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan dipersetujui hari ini pada Mesyuarat Majlis Matlamat Pembangunan Mampan SDG Negara Tahun 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata pelan itu dirangka dalam usaha kerajaan membawa entiti perniagaan secara berfasa ke arah pematuhan dan pelaporan ESG.
Ini sekali gus mewujudkan kelebihan kompetitif dan pembangunan negara mampan.
Datuk Seri Anwar turut menyarankan syarikat tersenarai awam, multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi bantuan latihan penerapan ESG kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ini bagi memastikan PKS tidak dibebankan dengan kos yang tinggi dalam mematuhi garis panduan ESG.
Sementara itu, berhubung prestasi semasa indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara, mesyuarat dimaklumkan bahawa negara mencatatkan kemajuan memberangsangkan dengan unjuran pencapaian 43 peratus sasaran SDG menjelang 2030.
Kemajuan itu mengatasi purata unjuran pencapaian global pada 17 peratus.