fb fb fb fb fb

Presiden Singapura diberi sambutan negara di Istana Negara

(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar
bersama Presiden Singapura, Halimah Yacob ketika Istiadat Sambutan Lawatan Negara di Istana
Negara hari ini/ Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 21 Mac - Presiden Singapura, Halimah Yacob yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia diberi sambutan negara di Istana Negara.

Ketibaan beliau dan suami, Mohamed Abdullah Alhabshee pada pukul 11 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan menteri kabinet.

Upacara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Singapura dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, disusuli tembakan meriam sebanyak 21 das.


(Presiden Singapura, Halimah Yacob memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama Batalion
Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada upacara sambutan negara di Istana
Negara hari ini/ Foto BERNAMA)

Presiden Singapura itu kemudian memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RAMD), Kem Wardieburn Setapak diketuai Mejar Mohd Fadjrin Masor@Mansor.

Beliau kemudiannya bersama Al-Sultan Abdullah menyempurnakan acara penanaman pokok gelam di halaman istana.

Kenyataan Wisma Putra memaklumkan lawatan tersebut bakal mengukuhkan lagi hubungan baik dan kerjasama pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2022 dengan jumlah perdagangan berjumlah RM367.53 bilion (US$83.53 bilion), peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.

Media Baharu