fb fb fb fb fb

Premis pemborong bekalan beras di Selangor ada bekalan beras tempatan, import

(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

PUTRAJAYA, 6 Oktober - Semua premis pemborong beras di sekitar Selangor yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) semalam didapati mempunyai bekalan BPT dan beras putih import (BPI).

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan kesemua premis yang diperiksa mempunyai lesen masih sah tempoh dan simpanan beras tidak melebihi had muatan yang dilesenkan.

Operasi tersebut diketuai Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin serta melibatkan kerjasama penguatkuasaan rentas agensi termasuk penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meliputi pengambilan sampel beras dan pengiraan stok fizikal beras dalam simpanan gudang.

"Kesemua sampel yang diambil adalah mengikut prosedur penguatkuasaan yang ditetapkan dan akan diserahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk tujuan analisis bagi mengesan pertukaran kampit beras atau aktiviti mencampurkan BPT dan BPI," menurut kenyataan itu.

KPKM juga tidak akan  berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampur BPT dan BPI atau menyembunyikan bekalan BPT, dan akan meneruskan kerjasama penguatkuasaan rentas kementerian dan agensi melalui Operasi Bersepadu BPT.


(FOTO HIASAN) 

Media Baharu