fb fb fb fb fb

Penduduk Kg Charok Puteh, Baling hela nafas lega masalah bekalan air bakal berakhir

 

BALING, 6 Oktober- Masalah gangguan bekalan air akibat tekanan air rendah yang membelenggu penduduk Kampung Charok Puteh, Baling sejak hampir 20 tahun tahun lalu dijangka berakhir selepas Projek Air Bersih Etiqa siap dibina.

Projek bawah tanggungjawab sosial korporat, CSR, Etiqa dengan kerjasama pertubuhan badan bukan kerajaan, NGO, iaitu Islamic Aid Malaysia (IAM) itu menelan kos kira-kira RM240,000.00.

Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim berkata, melalui Projek Air Bekalan Bersih tersebut, sebuah tandak air telah dibina di kawasan bukit berhampiran kampung tersebut bagi tujuan menakung air sungai sebelum ianya di salurkan ke rumah pam.

Beliau berkata, projek berkenaan menggunakan sistem graviti bagi tujuan penyaluran air daripada tandak air melalui 'polypipe' sepanjang 1.5 kilometer dari muka sauk ke rumah pam.

"Air tersebut akan ditapis dan dirawat terlebih dahulu menggunakan sistem penapis air membran sintetik berskala tinggi dan kemudiannya disimpan di dalam dua buah tangki simpanan berkapasiti 10,000 gelen yang disediakan.

"Air terawat kemudiannya disalurkan terus ke paip utama untuk kegunaan harian penduduk kampung.

“Saya difahamkan yang kampung ini telah mengalami kekurangan bekalan air sudah 20 tahun di mana tekanan tidak mencukupi dan bekalan air selalu terputus. Sebab itu kita mengambil inisiatif untuk membantu penduduk kampung ini membekalkan bekalan air bersih,"katanya.

Sementara itu, Pengerusi Projek Bekalan Air Bersih Kg Charok Puteh, Ishak Che Him yang mewakili penduduk kampung menzahirkan ucapan terima kasih diatas kesudian pihak berkaitan membantu menyelesaikan masalah yang dialami penduduk.

“Selama kami tunggu inilah sebagai sejarahlah bagi saya kerana dapat air bersih yang amat bersihlah. Jutaan terima kasih saya kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab terutama Etiqa dan IAM. Semoga apa yang kami dapat ini kami manfaatkanlah untuk semua rakyat di Kampung Charok Puteh,"kata Ishak.

Dalam pada itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah memaklumkan pihaknya akan terus mengenal pasti lokasi-lokasi lain untuk dibantu.

"Jadi untuk projek air ini kita akan mengenal pasti kawasan-kawasan di seluruh Malaysia termasuk di Kedah, Kelantan terutamanya yang menghadapi masalah air selain Sabah Sarawak.

"Kita kenal pasti kawasan dan kita akan cadangkan kepada rakan korporat kita iaitu Etiqa untuk mendapatkan dana bagi menjalankan projek yang sebegini,"kata Zawahir.


(Projek Air Bersih Etiqa, Kg Charok Puteh, Baling)

Media Baharu