fb fb fb fb fb

Motosikal hilang kawalan, tiga orang maut di Terengganu

DUNGUN, 6 Oktober- Tiga orang maut manakala tiga lagi cedera selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Dungun, Terengganu.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 12.00 tengah malam tadi di Kilometer 333.1, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) sebelum susur keluar Plaza Tol Paka, Dungun.
 
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata mangsa yang maut dikenali Muhammad Syah Run Nizam Jaafar, 20 tahun, Muhammad Fitri Hanif Rohami, 18 tahun dan Ahmad Osama Ramadhan Laidin, 17 tahun.

"Tiga mangsa yang cedera ialah Mohamad Afiq Kamal, 15 tahun, Muhamad Firzani Hilman Mohd Ariffadhillah, 20 tahun dan seorang lagi mangsa yang masih belum dikenal pasti.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian semua mangsa bersama 20 buah motosikal lain sedang dalam perjalanan konvoi pulang ke Kemaman.

"Sebelum itu, konvoi motosikal berkenaan dikatakan sempat singgah di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Paka untuk makan malam.
 
"Kemalangan dikatakan berlaku apabila salah sebuah motosikal yang tiba di lokasi kejadian dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh ke atas jalan raya.

"Ketiga-tiga mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dan Yamaha LC dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal terbabit.
 
"Kesan daripada kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa dikatakan terseret sejauh antara lima hingga 20 meter di atas jalan raya.
 
"Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan," kata Maizura menerusi kenyataan.

Tambahnya, kesemua mayat dihantar ke Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan tiga mangsa yang cedera parah dihantar ke unit kecemasan hospital sama.
 
Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


(Tambahnya, kesemua mayat dihantar ke Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan
tiga mangsa yang cedera parah dihantar ke unit kecemasan hospital sama.)

 

Media Baharu