fb fb fb fb fb

Biden akan bina lebih banyak tembok sempadan dengan Mexico

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 6 Oktober - Pentadbiran Presiden Joe Biden berkata pada Khamis bahawa ia akan menambah bahagian tembok sempadan dengan Mexico bagi menghalang peningkatan kemasukan pendatang negara itu dengan meneruskan dasar bekas Presiden Donald Trump.

Trump merupakan pendahulu bagi pencalonan Parti Republikan untuk mencabar Biden, seorang Demokrat, pada Pilihan Raya Presiden 2024.

Trump telah menjadikan pembinaan sekatan sempadan sebagai prinsip utama kempen pertamanya sebagai presiden dengan laungan perhimpunan, "Bina Tembok Itu."

Salah satu tindakan pertama Biden selepas mengambil alih jawatan pada Januari 2021 ialah dengan mengeluarkan pengisytiharan yang berjanji bahawa "tiada lagi wang pembayar cukai Amerika dialihkan untuk membina tembok sempadan" serta menyemak semula semua sumber yang telah diperuntukkan.

(FOTO AFP)

Pentadbiran Biden bagaimanapun berkata tindakan itu tidak menyimpang daripada pengisytiharan Biden sebelum ini kerana wang yang diperuntukkan semasa penggal Trump pada 2019 perlu dibelanjakan sekarang.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Alejandro Mayorkas berkata dalam satu kenyataan bahawa "tiada dasar pentadbiran baharu berkenaan dengan tembok sempadan. sejak hari pertama, pentadbiran ini telah menjelaskan bahawa tembok sempadan bukanlah jawapannya."

Mayorkas berkata projek pembinaan itu sesuai semasa pentadbiran terdahulu dan undang-undang menghendaki kerajaan menggunakan dana itu, dengan pengumuman dibuat pada awal tahun. “Kami telah berkali-kali meminta Kongres membatalkan wang ini tetapi ia tidak dilakukan dan kami terpaksa mengikut undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Mexico pada rundingan bersama pegawai tertinggi kedua-dua negara pada Khamis bagi membincangkan mengenai imigresen dan keselamatan menolak rancangan menambah bahagian tembok sempadan itu.

Sebelum rundingan diadakan yang dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken dan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Mexico, Alejandro Mayorkas, Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador mengutuk pelan tembok terbaharu itu sebagai "langkah ke belakang".-REUTERS

Media Baharu