MELAKA, 1 Disember - Sebanyak 1,939 notis kesalahan kebersihan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka hasil pemeriksaan ke atas 5,787 premis makanan di seluruh negeri dari 1 Januari hingga 22 November lalu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, notis berjumlah RM260,475 itu dikeluarkan bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
"Selain itu, 77 premis makanan telah dikenakan tindakan penutupan selama 14 hari, iaitu premis yang kotor bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983. Antara sebab penutupan yang paling utama ialah terdapat najis tikus dan lipas di dapur premis dan juga tahap kebersihan premis yang tidak mematuhi piawaian KKM (Kementerian Kesihataan Malaysia)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) di Bukit Baru di sini.
Dalam pada itu, sebanyak 91 premis makanan di negeri Melaka berjaya memperoleh pengiktirafan BeSS melibatkan 15 kantin sekolah dan 76 premis makanan lain dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.
Tempoh sah laku pengiktirafan BeSS adalah selama tiga tahun.