fb fb fb fb fb

Hajiji yakin kabinet baharu Sabah mampu pacu pembangunan negeri

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 1 Disember - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan keyakinan, Jemaah Menteri baharu negeri memiliki pengalaman dan kemampuan kukuh untuk memimpin kementerian masing-masing serta memacu kemajuan Sabah ke tahap lebih cemerlang.

Beliau menegaskan, kabinet yang dibentuk perlu memastikan kesinambungan pelaksanaan program pembangunan di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

“Tanggungjawab setiap menteri amat besar dan perlu dipikul dengan penuh komitmen, dedikasi serta integriti,” kata beliau, menzahirkan ucapan tahniah kepada semua menteri baharu dilantik.

Hajiji turut mengingatkan, setiap menteri wajib berkhidmat untuk seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang, selaras dengan amanah yang diberikan. Kenyataan itu dibacakan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dalam sidang media di Sri Gaya sejurus selepas upacara angkat sumpah Jemaah Menteri Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu.

Menurut Hajiji, pelantikan kabinet baharu membawa makna besar kerana ia memperkukuh iltizam kerajaan negeri untuk meneruskan agenda pembangunan serta memastikan masa depan Sabah lebih sejahtera.

Senarai penuh Jemaah Menteri Sabah menyaksikan tiga Timbalan Ketua Menteri dilantik, iaitu TKM 1: Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam (GRS), TKM 2: Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (GRS) dan TKM 3: Datuk Ewon Benedick (UPKO).

Portfolio Menteri Kabinet Negeri pula terdiri daripada Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam (GRS); Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (GRS); Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick (UPKO); Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (GRS); Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar (PH); serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang (GRS).

Sementara itu, portfolio berikut turut dilantik: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib (GRS); Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin (BN); Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Mojungki (GRS); dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (GRS).

Kabinet baharu itu dijangka meneruskan dasar pembangunan negeri menerusi agenda Sabah Maju Jaya, selain memastikan setiap inisiatif kerajaan negeri sampai kepada rakyat secara menyeluruh.

Sementara itu, Datuk Seri Joachim turut mengesahkan Kerajaan Sabah selepas PRN Sabah ke-17 adalah Kerajaan Perpaduan yang disertai GRS, UPKO, PH dan BN. Beliau menambah, STAR masih belum menganggotai Kabinet Kerajaan Sabah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE