(Majlis Zakat Korporat 2023)
PUTRAJAYA, 10 Julai - Sebanyak RM462 juta wang zakat berjaya dikutip Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk tempoh separuh pertama tahun ini.
Kutipan itu meningkat sembilan peratus berbanding RM423 juta tempoh sama tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata, setakat Jun tahun ini sebanyak RM59.85 juta kutipan zakat perniagaan diterima PPZ-MAIWP.
"Ini sekali gus menunjukkan peningkatan enam peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM56.6 juta.
"Hasil daripada usaha strategi daripada PPZ-MAIWP ini, kita dapati lebih ramai pembayar zakat di peringkat individu, perniagaan mahupun korporat. individu mahupan dalam kalangan korporat.
"Saya secara peribadi berasa bangga dan bersyukur kerana kesedaran berzakat semakin meningkat dan meluas dalam kalangan umat Islam.
“Tentunya komitmen kami di MAIWP, kita akan bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan agihan zakat tersebut dilaksanakan sebaik-baiknya demi kepentingan umat Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Zakat Korporat 2023 di sini hari ini.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar/FOTO PPZ MAIWP)
Pada majlis tersebut, RM13 juta zakat perniagaan daripada 21 buah syarikat korporat diserahkan kepada PPZ-MAIWP.
Tambah beliau, bagi tempoh yang sama juga sebanyak RM420 juta dana zakat sudah diagihkan kepada para asnaf melalui pelbagai skim bantuan dengan penuh terancang.
Beliau menyeru masyarakat Islam khususnya syarikat dan organisasi di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan zakat perniagaan mereka bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.