PORT DICKSON, 10 Julai - Kadar elaun kursus anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dinaikkan RM40 sehari dengan implikasi kewangan RM1.8 juta setahun bermula awal bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata penambahan kadar elaun itu memanfaatkan lebih 10,000 sukarelawan APM di negara ini.
"Setakat ini penambah baikan segera yang telah kita putuskan adalah melihat kepada kadar elaun kepada anggota sukarela bagi mengikuti kursus. Untuk makluman sejak tahun 1970 kadar elaun untuk anggota sukarela APM mengikuti kursus hanyalah pada kadar RM5 sehari sejak tahun 1970.
"Atas sebab itu kita telah menyemak dan kita telah bersetuju untuk meningkatkan kadar elaun," katanya pada sidang media selepas majlis penutup Civil Defence Beach Lifeguard Challenge (CDLC) Peringkat Kebangsaan 2023 di Pantai Batu 5, di sini.
Dalam pada itu, Armizan berkata kementerian akan mengemukakan kepada kerajaan berkenaan keperluan mewujudkan perjawatan kontrak dalam APM bagi memperkukuh peranan agensi itu sebagai urus setia jawatankuasa pengurusan bencana di daerah dan negeri.
Beliau berkata, perjawatan kontrak itu penting untuk diwujudkan kerana melibatkan tugas seperti merekod aset APM yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.