KUANTAN, 10 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah mengingatkan rakyat untuk lebih berhati-hati dalam pemilihan lokasi beriadah.
Walaupun bencana boleh berlaku di mana-mana, Al-Sultan Abdullah bertitah adalah lebih baik jika langkah berwaspada diambil bagi mengelakkan risiko kejadian tidak diingini.
"Saya harap berhati-hatilah lain kali hendak pergi ke tempat yang kita tidak kenal tempat dia, elok ambil periksa dahulu sebelum membawa keluarga ke tempat yang baharu," titah Seri Paduka kepada pemberita selepas berkenan berangkat menyantuni keluarga mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih di Felda Lepar Hilir 3, di sini.
Dalam kunjungan itu, baginda turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa serta menyampaikan kata-kata semangat kepada wakil keluarga allahyarham Azizah Eiyi dan allahyarham Karim Abdullah.
"Sama-samalah kita semua berdoa supaya roh-roh mereka ini digolongkan dalam golongan yang masuk syurga jannah ini mudah-mudahan dan golongan yang mati syahid akhirat dan kita sama-samalah mendoakan dan bagi keluarga saya harap bersabar dan harus meneruskan amalan baca Yassin, baca al quran untuk sedekah kepada yang meninggal," titah baginda.
Pada 2 Julai lepas, 10 individu hilang selepas dihanyutkan kepala air semasa berkelah di Jeram Air Putih bermula pada petang sehari sebelumnya.
Mereka ialah Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, dan Putri Nor Fatin Karim, 14.
Turut terkorban ialah Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor iaitu tunang kepada Putri Balqis Izzati.
Setakat ini, mayat Putri Nor Fatin masih belum ditemukan.