fb fb fb fb fb

PPKK perkasa anyaman rotan, lonjak kraf tempatan ke peringkat global

FOTO RTM

KANGAR, 11 Julai – Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) terus memainkan peranan penting dalam memperkasa industri anyaman, khususnya anyaman rotan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti luar bandar.

Inisiatif yang digerakkan oleh Kraftangan Malaysia itu memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran kraf tempatan, selain membuka ruang kepada penduduk kampung untuk menjana pendapatan secara tetap mahupun sampingan melalui penglibatan dalam perusahaan kraf.

Menurut Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli, seramai 11 peserta komuniti kraf tempatan telah mengikuti Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Anyaman Rotan yang berlangsung dalam tiga fasa sejak Disember 2024.

“Ini merupakan inisiatif dan saranan digerakkan oleh Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya untuk menyemarakkan lagi kraf tempatan bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi juga ke peringkat global. Ia adalah antara usaha memperbanyakkan pengeluar kraf mahir yang mampu hasilkan produk berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program PPKK anjuran Kraftangan Malaysia di Kangar, Perlis.

Setakat ini, hampir 7,000 usahawan kraf telah berdaftar di seluruh negara, termasuk 85 usahawan di Perlis.

PPKK dilihat berpotensi besar dalam memacu pembangunan keusahawanan kraf secara mampan di luar bandar serta menyumbang kepada misi memperkukuh sektor ekonomi kreatif negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE