KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 membuktikan keupayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN apabila bertindak sebagai pusat diplomasi serantau yang penting melibatkan kuasa besar dunia dan anggota rantau ini.
- Malaysia berjaya menghimpunkan kuasa besar dunia dan anggota ASEAN di bawah satu bumbung.
- Peranan penganjuran sidang mengukuhkan imej Malaysia sebagai pusat diplomasi serantau.
- Hadirnya Presiden Amerika Syarikat menunjukkan kejayaan diplomasi Malaysia yang ketara.
- Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur dan kemasukan Timor-Leste menonjolkan peranan pengantarabangsaan.
- Sidang membawa potensi limpahan ekonomi dan membincangkan keamanan, daya tahan ekonomi serta pertumbuhan inklusif.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Azman Ayob berkata Malaysia berjaya menghimpunkan negara besar di bawah satu bumbung yang disifatkannya sebagai sesuatu yang tidak mudah.
“Pertemuan di Kuala Lumpur menyerlahkan keupayaan Malaysia yang bukan sahaja berjaya mengumpulkan semua negara anggota malah menjadi saksi pertemuan negara-negara besar. Ini bukan sesuatu yang mudah dan Malaysia berjaya melakukannya.
“Malah kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menjadi rentetan bukti kejayaan diplomasi yang diterajui Malaysia,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Angkasapuri.
Menurut beliau, peranan Malaysia turut diterjemahkan menerusi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur melibatkan Thailand dan Kemboja serta kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN.
Tambah beliau, penganjuran sidang kemuncak itu bukan sahaja mengangkat imej Malaysia di mata dunia, tetapi turut membawa potensi limpahan ekonomi kepada rakyat.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang sedang berlangsung hingga esok menyaksikan penyertaan pemimpin dan pegawai tinggi dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Australia dan Kanada selain anggota ASEAN bagi membincangkan isu keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif.