KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Sebanyak 23 projek menaik taraf jalan bekas balak di pedalaman Sarawak diluluskan di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) bernilai RM1.47 bilion.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang berkata, meskipun KKDW tiada program khusus menyelenggara jalan bekas balak, kerja menaik taraf dijalankan secara berfasa melalui JALB.
“Daripada jumlah keseluruhan 23 projek, lapan siap sepenuhnya, 11 sedang dalam pembinaan dan empat lagi peringkat prapelaksanaan,” katanya pada sesi soal jawab Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Baram, Datuk Anyi Ngau mengenai perancangan kementerian menaik taraf jalan bekas balak bagi kegunaan penduduk luar bandar sepanjang masa.
Rubiah berkata, selepas dinaik taraf mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR), jalan akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk didaftarkan sebagai jalan negeri.
Katanya, laluan berkenaan kemudiannya layak diselenggara di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi memastikan penyelenggaraan berterusan dan selamat.
“Langkah ini bukan sahaja memastikan jalan bekas balak dapat digunakan sepanjang masa tetapi juga menjamin kemudahan perhubungan lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau menegaskan KKDW komited meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar Sarawak dengan menyediakan infrastruktur asas mampan dan menyokong pembangunan sosioekonomi setempat.