JERANTUT, 13 Oktober – Kerajaan komited untuk merealisasikan Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) di setiap negeri, bagi memastikan keselesaan penduduk ketika menghadapi bencana khususnya banjir.
- Kerajaan komited bina 15 Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) untuk keselesaan mangsa banjir di setiap negeri.
- PPBK direka lengkap dengan kemudahan asas seperti tandas, bilik air, dapur dan ruang mencukupi berbanding PPS sementara.
- Sistem ramalan awal bersama MET Malaysia dibangunkan untuk beri amaran tiga hingga lima hari sebelum cuaca ekstrem.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini kerajaan merancang 15 PPBK di seluruh negara.
Tiga daripadanya, siap dibina.
Perancangan PPBK itu tertumpu di kawasan yang sering mengalami banjir dan lokasi pembinaan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dengan persetujuan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
“Selama ini kita menggunakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terdiri daripada bilik-bilik darjah atau kelas-kelas dan juga dewan-dewan sekolah.
“Tetapi disebabkan tidak ada kemudahan, terutamanya tandas, bilik air, tempat masak dan keluasan yang cukup untuk memasang khemah buat penduduk terjejas banjir.
“Maka kerajaan MADANI prihatin untuk membina PPBK dengan kemudahan-kemudahan yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2025 di Padang FA Jerantut, Pahang.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad, sistem ramalan awal cuaca bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) juga sedang dibangunkan.
Sistem tersebut mampu memberi amaran tiga hingga lima hari sebelum hujan lebat atau ribut melanda dikawasan berisiko.
Sebagai persediaan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula akhir Oktober ini, agensi kerajaan dan NGO termasuk radio amatur juga akan digerakkan bagi membantu penduduk terjejas banjir yang berlindung di PPS.