KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Malaysia menyambut baik persetujuan Hamas terhadap pelan 20 perkara yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Ia disifatkan satu langkah yang akan membuka ruang ke arah keamanan di Gaza. Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keutamaan ketika ini adalah untuk membangunkan semula Palestin, khususnya di Gaza yang mengalami kemusnahan besar akibat perang.
'Kita amat bersyukur dan menyambut baik keputusan Hamas untuk menerima 20 perkara yang telah diutarakan Presiden Trump, biarpun bukan semua cadangan itu boleh memuaskan hati Hamas, tetapi ini merupakan tingkap terakhir untuk Hamas memutuskan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza," katanya ketika selepas meninjau persediaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara.
Beliau turut berharap agar gencatan senjata di Gaza ketika ini kekal dan sentiasa mendoakan agar negara Palestin mencapai kemerdekaan.
Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan negara-negara Islam dan rakan antarabangsa bagi memastikan proses pemulihan Palestin dapat dijalankan dengan berkesan dan berterusan.