KUALA LUMPR, 26 Januari- Potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena perayaan Tahun Baharu Cina adalah keputusan bijak dalam pengurusan fiskal defisit negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata keputusan itu mampu merangsang aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.
"Dengan adanya diskaun ini, mereka akan mempunyai pendapatan lebihan sedikit. Mereka boleh merancang dari segi perbelanjaan makanan, perjalanan dan juga mungkin mereka akan berbelanja di kampung halaman mereka dan ini sedikit sebanyak boleh menjana ekonomi di kawasan luar bandar ataupun di kampung mereka dan juga mereka akan gandakan dari segi aktiviti ekonomi dan sebagainya", katanya kepada RTM.
Tambah beliau, pemberian diskaun ini juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak.
Pada 24 Januari lalu, Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet bersetuju untuk memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari daripada kadar tol biasa sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 yang akan disambut pada 29 dan 30 Januari ini.