fb fb fb fb fb

Pengekalan penarafan Moody's bukti kredibiliti kerajaan laksana dasar fiskal mampan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Januari- Keputusan Moody’s Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 membuktikan kredibiliti kerajaan dalam melaksanakan dasar fiskal yang mampan.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, penarafan kredit yang kukuh membantu menstabilkan nilai mata wang ringgit, sekali gus menarik pelaburan asing ke dalam pasaran modal dan saham Malaysia.

"Dengan kedudukan kewangan kerajaan yang lebih baik, ini akan memungkinkan pihak kerajaan untuk mengatur dan juga merangka dasar yang akan lebih bersasar kepada golongan yang mahu disasarkan terutamanya dalam isu berkait rapat tentang subsidi, bantuan kerajaan dan sebagainya.

"... dan selain itu kerajaan juga akan dapat membelanjakan lebih banyak lagi terhadap sektor-sektor utama seperti pendidikan, kesihatan dan juga infrastruktur yang akhirnya akan memanfaatkan rakyat dengan tahap daya saing tinggi", katanya kepada RTM.

Dengan kemahiran dan keupayaan rakyat yang semakin meningkat, Malaysia berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat.

ROSLINA BINTI DIN