KUALA LUMPUR, 20 Ogos - Potensi Tasik Kenyir sebagai hab pelaburan pusat data dan kecerdasan buatan (AI), perlu melalui Analisis Kos Faedah (CBA) terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata meskipun kawasan itu memiliki kelebihan dari segi sumber tenaga hidro, bekalan air dan infrastruktur asas, Terengganu masih belum tergolong dalam kelompok utama industri pusat data di peringkat nasional atau serantau.
Justeru, penilaian menyeluruh perlu dibuat bagi memastikan projek tersebut benar-benar sesuai serta berdaya maju.
"Buat masa ini, Terengganu masih belum berada dalam hot spot bagi pusat data. Oleh yang demikian, perbincangan lanjut harus dilaksanakan dengan semua pihak berkepentingan bagi meneliti dan mengkaji kesesuaian Tasik Kenyir sebagai hab pusat data dan AI dari segi infrastruktur tenaga, air, dan rangkaian telekomunikasi yang memenuhi piawaian industri bagi menarik pelaburan strategik ke Terengganu," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mengenai potensi Tasik Kenyir sebagai hab baharu sektor digital negara.
Menurutnya, dari aspek tenaga, kawasan itu memiliki kelebihan kerana menempatkan loji janakuasa hidro di Kenyir dan Hulu Terengganu, selain mempunyai potensi untuk projek solar terapung serta pembangunan hab hidrogen hijau pada masa depan.
Dari segi bekalan air pula, loji rawatan sedia ada mampu menampung keperluan semasa, dan rancangan naik taraf sehingga 2027 akan meningkatkan kapasiti untuk masa hadapan.
Tambahnya, infrastruktur telekomunikasi juga sedang dipertingkatkan, termasuk capaian jalur lebar sehingga 1Gbps melalui inisiatif Broadband for General Population (BBGP).
Namun begitu, kelajuan dan kapasiti sedia ada masih belum mencukupi untuk menyokong keperluan operasi pusat data berskala besar.
Maka, penaiktarafan menyeluruh diperlukan sekiranya pembangunan pusat data diteruskan di kawasan tersebut.