fb fb fb fb fb

Pengecualian cukai produk AS hasil rundingan timbal balas

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Keputusan mengecualikan cukai jualan ke atas produk pertanian dari Amerika Syarikat (AS) merupakan hasil rundingan dua hala antara Malaysia dan AS bagi pengurangan tarif balas terhadap eksport Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata pengecualian itu dibuat atas dasar kepentingan bersama dan tidak terpakai secara automatik kepada negara lain.

Sebarang pengecualian cukai kepada negara lain hanya akan dipertimbang berdasarkan permintaan serta tawaran balas yang memberi manfaat nyata kepada ekonomi negara.

"MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) ingin menjelaskan bahawa pengecualian yang diberikan kepada Amerika Syarikat adalah hasil rundingan yang telah dimuktamadkan berdasarkan kepentingan bersama. Oleh itu, sebarang pertimbangan pengecualian cukai kepada negara lain adalah tertakluk kepada rundingan berdasarkan permintaan serta tawaran balas daripada negara berkaitan, dengan syarat ia memberikan manfaat dan keuntungan kepada Malaysia," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin dalam sesi penggulungan perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat.

Tambah Tengku Zafrul, sebarang pertimbangan untuk memberikan pengecualian serupa kepada negara lain hanya akan dipertimbangkan sekiranya ia mampu memberikan manfaat nyata kepada ekonomi dan industri tempatan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN