KUALA LUMPUR, 11 Jun - Presiden Republik Poland, Andrzej Duda hadir ke Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya bagi menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Poland’s Position in the EU : Challenges and Choices’.
Ketibaan Duda diiringi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Duda yang kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Malaysia menyifatkan peluang menyampaikan syarahan umum di universiti terkemuka itu sebagai satu penghormatan untuknya.
Syarahan umum pada hari ini membincangkan potensi kerjasama strategik antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN.
Ini merupakan kunjungan sulung Duda ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Ogos 2015.
Kunjungan ini amat signifikan bertepatan dengan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dan Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh pertama Januari - Jun 2025.