fb fb fb fb fb

Pos Malaysia lancar setem khas sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025

Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) menunjukkan Setem Pos Khas bertemakan wanita yang dilancarkan oleh Pos Malaysia Berhad hari ini / RTM

KUALA LUMPUR, 8 Mac- Sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025, Pos Malaysia Berhad melancarkan Setem Pos Khas bertemakan wanita, meraikan peranan dan sumbangan mereka dalam masyarakat.

Inisiatif berkenaan merupakan kolaborasi pertama antara Pos Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), simbolik kepada usaha memperkasa wanita di pelbagai lapangan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerjasama tersebut membawa makna besar kerana ia bukan sahaja meraikan wanita, tetapi juga memperkukuh komitmen untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosial, dan politik.

"Setem ini bukan sekadar koleksi, ia adalah simbol penghargaan dan pengiktirafan kepada wanita. Wajah-wajah wanita yang dipaparkan mengingatkan kita tentang pentingnya kerjasama serta sokongan berterusan bagi memperkasakan mereka," katanya.

Setem Pos Khas tersebut diinspirasi oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan menampilkan dua reka bentuk unik yang dicantumkan dalam satu lembaran, masing-masing bernilai RM1.30.

Turut dilancarkan, sampul surat Hari Pertama lengkap dengan cap tarikh istimewa serta logo rasmi Hari Wanita Antarabangsa 2025.

Edisi khas itu juga menawarkan poskad dan folder, dengan set lengkap berharga RM38.10.

Para peminat filateli dan orang ramai boleh mendapatkan koleksi istimewa ini di Pejabat Pos terpilih di seluruh negara atau secara dalam talian melalui laman sesawang Pos Malaysia di www.pos.com.my.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE