fb fb fb fb fb

Hari Wanita: Dua wanita penting dalam hidup Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuat naik gambar bersama Allahyarhamah ibunya, Che Yan Hamid Hussein (kiri) dan isteri tercinta, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sempena Hari Wanita Sedunia hari ini/Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan terhadap dua wanita yang menjadi sumber kekuatan dan inspirasi dalam kehidupannya.

Dua wanita itu adalah ibunya, Allahyarhamah Che Yan Hamid Hussein, dan isteri tercinta, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menerusi hantaran di Facebook beliau menyifatkan kedua-dua wanita itu sebagai tulang belakang yang menjadi dorongan kuat dalam perjuangannya menuntut keadilan serta membela nasib rakyat.

"Hari ini kita meraikan keberanian, pengorbanan, dan peranan luar biasa wanita dalam membentuk masyarakat yang lebih adil dan sejahtera," katanya sambil memuat naik gambar bersama Allahyarhamah ibunya dan isteri sempena Hari Wanita Sedunia hari ini. 

Dalam masa sama, Anwar menyeru rakyat agar terus memperjuangkan hak dan martabat wanita dengan memberi ruang serta peluang yang adil dalam semua aspek kehidupan.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua golongan wanita di negara ini.

Sambutan Hari Wanita Sedunia disambut pada 8 Mac setiap tahun.

GRACE AISYAH KEDAYAN