SHAH ALAM, 22 Ogos - Portfolio 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan dimuktamad hari ini dan diumumkan esok selepas mesyuarat EXCO pertama.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, senarai portfolio yang dibuat pada hari ini juga diselaraskan dengan skop tugas peringkat barisan Kabinet.
"Kemudian senarai portfolio itu akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan cadangan dan penambahbaikan.
"Kita terpaksa selaraskan balik sesuai dengan portfolio di peringkat Persekutuan sebab ada kementerian baharu. Sebagai contoh, kos sara hidup dan perubahan iklim.
"Ini perkara yang kita akan cuba tengok sebab akhirnya tugasan kita perlu berurus tadbir dengan pihak di peringkat Persekutuan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama 10 exco hadir dalam Perhimpunan Penjawat Awam Selangor di sini selepas mengangkat sumpah jawatan itu semalam.
Dalam pada itu, Datuk Seri Amirudin turut mengulas pelantikan Speaker Dewan Negeri (DUN) Selangor yang akan dilakukan pada sidang pertama dewan selepas Hari Malaysia September ini.