SHAH ALAM, 22 Ogos - Selangor berjaya melepasi sasaran RM2 bilion hasil perolehan pada Jumaat lalu iaitu lebih awal berbanding sasaran yang ditetapkan dalam Belanjawan 2023.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, pihaknya menyasarkan sehingga hujung tahun ini, kutipan hasil perolehan boleh mencapai sehingga RM2.4 bilion.
Katanya, unjuran lebihan sehingga akhir tahun ini dijangka berdasarkan perkembangan semasa kemasukan pelaburan dan potensi sedia ada.
"Ini bermakna sampai pertengahan bulan Ogos kita telah berjaya mencatatkan hasil yang baik dan saya percaya kalau ikut trend semasa sebenarnya bulan Ogos, bulan September pilihan raya sebagainya mungkin kita akan dapat yang lebih baik sebagaimana pencapaian pencapaian sebelum ini.
"Kita tegok apa yang ada dalam…tapi kebiasaannya kadang-kadang ada kejutan terutamanya daripada pelabur-pelabur yang datang dan sebagainya. Jadi saya boleh anggarkan minimum kita boleh dapat RM2.3 hingga ke RM2.4 billion. Tapi untuk capai RM2.5 adalah tidak mustahil," katanya.
(Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari/FOTO FB Amiruddin Shari)
Terdahulu beliau hadir dalam Perhimpunan Penjawat Awam Selangor dan Pelancaran Kempen Jalur Gemilang peringkat Negeri Selangor 2023 di sini.
Dalam pada itu, mengenai teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin semalam yang menzahirkan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi yang disifatkan perlahan berbanding negeri lain termasuk Pulau Pinang.
Menurutnya, anjakan yang berlaku dalam ekonomi Selangor melibatkan peralihan daripada sektor pembuatan kepada perkhidmatan sekitar 0.6 dan 0.7 peratus.