(Mohamad Sabu)
CHUPING, 22 Ogos- Penanaman jagung bijian mampu membantu negara mengurangkan kebergantungan import tanaman berkenaan sebagai salah satu bahan utama dalam penyediaan makanan haiwan ternakan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, punca utama kenaikan harga daging dan ayam adalah disebabkan kos makanan ternakan yang semakin meningkat.
Oleh itu, jelas beliau, sekiranya negara mampu mengeluarkan sendiri jagung bijian, ia pasti akan membantu dalam menstabilkan harga daging dan ayam dalam negara.
"Kalau kita dapat capai 50% (penanaman jagung bijian dalam negara) pun sudah cukup baik, (ia juga) untuk mengurangkan pengaliran wang negara keluar," katanya kepada media selepas melawat Projek Tanaman Jagung Bijian di Lembah Chuping di sini.
Projek berkenaan merupakan projek rintis kepada proses penanamannya dalam negara, selain iklim dan geografi di kawasan tersebut dilihat bersesuaian bagi menghasilkan jagung bijian yang berkualiti.
(Projek Tanaman Jagung Bijian di Lembah Chuping, Perlis)