(Fahmi berharap semua negeri menggunakan tema dan logo sambutan yang sama seperti
diperkenalkan Kerajaan Persekutuan/BERNAMA)
PUTRAJAYA, 21 Ogos- Persiapan kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya, 31 Ogos ini berjalan baik.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berharap semua negeri menggunakan tema dan logo sambutan yang sama seperti diperkenalkan Kerajaan Persekutuan.
"Semua negeri (diharap) turut serta guna tema sama, ini harapan kita. Masa berpolitik telah tamat, pilihan raya negeri (PRU DUN) telah selesai.
"Satu ketika dahulu, kita kibarkan bendera parti, sekarang kita kibarkan bendera Malaysia. Ini tujuan kita, tugasan kita untuk rapatkan silaturahim, eratkan hubungan sesama kita dan pupuk perpaduan," katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital di sini.
“Bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, marilah kita semua perbaharu tekad, rasa cinta dan bersama berganding bahu bersatu padu kukuhkan semangat perjuangan menuntut kemerdekaan dan pembentukan negara Malaysia tercinta,” tambah beliau.
Pada Mei lepas, Fahmi mengumumkan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini manakala Malaysia MADANI diangkat sebagai logo rasmi.
Bagaiamanapun pada Sabtu lalu Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan agar kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis yang berada bawah pentadbiran PN menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza di peringkat negeri.
(Fahmi ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan KKD di Kementeriannya
/BERNAMA)