fb fb fb fb fb

Portal Rasmi Halal Malaysia beroperasi semula Rabu lepas - JAKIM

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Disember- Portal Rasmi Halal Malaysia mula beroperasi kembali pada Rabu setelah tindakan pembaikan selesai dilakukan susulan pencerobohan yang dikesan pada 9 Disember lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff berkata beliau telah mengarahkan 
pasukan teknikal ICT jabatan itu menjalankan siasatan dan menyediakan laporan menyeluruh berhubung perkara tersebut.

"Ini termasuk mencadangkan langkah-langkah proaktif ke arah meningkatkan ciri keselamatan portal supaya isu sama tidak berulang pada masa hadapan. Insiden pencerobohan yang berlaku ini tidak menyebabkan sebarang data tertiris.

“Saya telah mengarahkan pasukan teknikal ICT Jakim mengambil langkah proaktif untuk mengemas kini lohong gelung yang mungkin boleh menjadi ruang untuk penggodam menceroboh kembali ke dalam Portal Rasmi Halal Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata proses untuk menyiapkan infrastruktur baharu di mana server, sistem operasi dan aplikasi akan dinaik taraf ke versi yang terkini dan infrastruktur baru ini akan disiapkan sebelum Januari 2024.

Kenyataan itu turut memaklumkan jabatan berkenaan menyedari kerisauan pengguna mengenai ciri-ciri keselamatan sedia ada di Portal Halal Malaysia.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI