KUALA LUMPUR, 22 Oktober- Portal RAI (respectful, accessible, inclusive) yang dibangunkan di bawah inisiatif MyGovernment berfungsi sebagai platform sehenti bagi memudahkan urusan bukan warganegara yang ingin bekerja, belajar atau menetap di Malaysia.
Menurut Pengarah Bahagian Kerajaan Digital, TS Dr. Cecilia Adrian, portal berkenaan merupakan antara langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus digital serta meningkatkan daya saing negara dalam ekosistem global.
"Portal RAI diwujudkan untuk meraikan dan menyambut warganegara luar dengan cara yang mesra serta berinformasi. Ia memudahkan akses kepada maklumat rasmi kerajaan dan mempercepat proses berkaitan urusan diplomatik serta pelaburan," katanya.
Portal RAI bukan sekadar pusat sehenti, malah dilengkapi dengan ciri keselamatan digital terkini termasuk multi-factor authentication (MFA), one-time password (OTP) dan SSL encryption bagi memastikan keselamatan data pengguna antarabangsa.
"Ciri keselamatan ini memastikan setiap log masuk adalah sahih, data pengguna dilindungi dan tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab," jelasnya.
Tambah beliau, portal ini turut menyediakan pautan rasmi kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan melalui protokol HTTPS bagi menjamin ketelusan serta integriti maklumat yang disampaikan.
Selain itu, portal RAI turut menampilkan maklumat sahih dan terkini mengenai perkhidmatan kerajaan, pendidikan, pekerjaan serta peluang pelaburan khususnya untuk ekspatriat, pelajar antarabangsa dan pelancong bekerja sambil melancong.
"Kita mahu pelawat antarabangsa berasa dihargai dan disambut dengan pengalaman digital yang lancar serta selamat," katanya.
Inisiatif ini sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai negara moden, telus dan berdaya saing, selaras dengan agenda pendigitalan kerajaan menuju tadbir urus pintar dan inklusif.
Terdahulu, portal RAI disempurnakan pelancarannya oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 Jun lepas.
