fb fb fb fb fb

Malaysia perkasa keselamatan siber rantau ASEAN

Dr. Ainuddin Wahid Abdul Wahab

KUALA LUMPUR, 22 Oktober- Malaysia menerajui usaha memperkukuh keselamatan siber serantau sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan menumpukan kepada Strategi Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030 yang berasaskan kerjasama serta perkongsian maklumat rentas sempadan.

Pakar keselamatan siber dan Profesor di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya, Prof. Dr. Ainuddin Wahid Abdul Wahab berkata, kesepaduan dan tindakan bersama amat penting memandangkan ancaman siber kini bersifat tanpa sempadan.

Beliau menjelaskan, rantau ASEAN yang menempatkan lebih 700 juta penduduk dengan kadar penembusan internet sebanyak 78 peratus menjadikan masyarakatnya lebih terdedah kepada risiko serangan siber.

“Apabila hampir semua penduduk mempunyai capaian internet, ruang ancaman turut meningkat. Sebab itu penting untuk mewujudkan ekosistem keselamatan siber yang kukuh bagi melindungi rakyat serta memperkukuh keyakinan pelabur,” katanya.

Tambah beliau, pelabur dalam sektor ekonomi digital menilai tahap keselamatan sesebuah rantau sebelum membuat keputusan pelaburan, justeru keselamatan siber kini menjadi teras utama pembangunan ekonomi digital ASEAN.

Mengulas keperluan perkongsian maklumat insiden siber antara negara anggota, Dr. Ainuddin menjelaskan bahawa tindakan pantas dan koordinasi rentas sempadan dapat membantu mengekang serangan yang berpotensi menjejaskan kestabilan serantau.

"Seorang penyerang siber boleh menggunakan satu negara untuk menyerang sistem di negara lain. Dalam situasi ini, tiga negara mungkin terlibat dalam satu serangan siber. Oleh itu, perkongsian maklumat amat penting bagi membolehkan tindakan segera diambil," ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan siber bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau industri, sebaliknya perlu bermula di peringkat keluarga dan sekolah.

"Ibu bapa perlu mendidik anak mengenai etika dan keselamatan digital sebagaimana kita ajar keselamatan jalan raya. Sekolah pula boleh melaksanakan latihan kesedaran siber atau cyber drill supaya pelajar lebih bersedia menghadapi ancaman dalam talian," katanya.

Dalam masa sama, beliau menyarankan agar organisasi dan individu mengamalkan kaedah sandaran data ‘3-2-1’ — iaitu tiga salinan data, dua disimpan secara tempatan dan satu di storan awan — sebagai langkah pemulihan sekiranya berlaku serangan perisian tebusan.

Dengan jaringan digital yang semakin meluas, keselamatan siber perlu menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan ASEAN kekal sebagai rantau yang selamat, berdaya tahan dan dipercayai dalam ekosistem digital global.

SITI AISHAH BINTI MD ISA