fb fb fb fb fb

Polis tumpas sindiket minuman keras tanpa cukai bernilai RM100,107.99

KLANG, 8 Februari - Polis menumpaskan sindiket minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai membabitkan nilai rampasan berjumlah RM100,107.99 selain menahan seorang lelaki warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dalam Op Kontraban, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Superintenden Rizal Mohamed berkata, dalam kejadian pada 2.30 petang supek berumur 45 tahun ditahan bersama dua lagi kenderaan di sebuah kediaman di Jalan Cengkih, Taman Chuan, Pelabuhan Klang.

"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan tersebut, pasukan polis menemui minuman keras yang dipercayai diseludup dan tidak bercukai pelbagai jenama yang telah disembunyikan.

"Jumlah keseluruhan minuman keras yang dirampas sebanyak 172 karton dengan anggaran nilai barang berjumlah RM28,116.00, manakala nilai cukai berjumlah RM38,191.99," katanya melalui satu kenyataan media pada Selasa, di sini.

FOTO PGA


Beliau menambah, turut dirampas dua kenderaan dan juga selefon bimbit yang melibatkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM100,107.99.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian pengedaran minuman keras tidak bercukai di sekitar Klang, Selangor," katanya.

Beliau menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Media Baharu