fb fb fb fb fb

BANJIR SABAH: Jumlah penduduk terjejas naik mendadak

KOTA KINABALU, 8 Februari -Jumlah penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah Pitas, Sabah naik mendadak pagi ini kepada 719 orang daripada 236 keluarga, berbanding 313 orang daripada 96 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan empat pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka.

PPS Dewan Kampung Sinukab menempatkan 510 penduduk daripada 170 keluarga.

Tiga PPS lain ialah Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II kekal menempatkan 81penduduk daripada 29 keluarga; Dewan SK Rukom (55 penduduk daripada 17 keluarga); dan Dewan Kampung Kusilad (73 penduduk daripada 20 keluarga).

"Sebanyak 10 kampung dulanda banjir susulan hujan lebat sejak Ahad lepas dengan dua kampung terbaharu malam tadi ialah Kampung Boribi dan Kampung Untang-Untang/Mulung Kulung.

"Lapan lagi kampung terbabit ialah Kampung Tambilidon, Kampung Kalumpang, Kampung Taka, Kampung Saab Darat, Kampung Rukom Ulu, Kampung Kusilad, Kampung Desa Seberang dan Kampung Kanibongan," menurut kenyataan itu.

Cuaca pagi ini cerah di Papar, Kota Kinabalu dan kawasan lain di pantai barat Sabah.

Bagaimanapun hujan turun di kawasan utara (Paitan, Labuk dan Sugut) dan kawasan tengah (Telupid dan Tongod).

 

Media Baharu