fb fb fb fb fb

Bijak dan selamat ke arah kesejahteraan siber - PM

FOTO FB ISMAIL SABRI YAAKOB

KUALA LUMPUR, 8 Februari - Bersempena dengan sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 – Edisi Malaysia yang bertemakan K.I.T.A Siber, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menyeru seluruh Keluarga Malaysia supaya terus memupuk sikap bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan orang lain.

Amalkan kaedah komunikasi yang mengambil kira ciri inklusif dan tanggungjawab di samping meningkatkan keakraban bagi membentuk komuniti digital yang harmoni.

"Ketika negara dilanda pandemik COVID-19, kebanyakan ahli Keluarga Malaysia telah beralih ke arah penggunaan teknologi digital dalam setiap aspek kehidupan mereka.

"Keadaan ini menyebabkan berlakunya transformasi pada pola komunikasi dan sosial, norma baharu," kata Ismail Sabri dalam laman Facebooknya.

Tambah beliau, situasi ini telah menyebabkan kebanyakan pengguna internet alpa untuk menjaga adab dan etika walaupun dalam dunia siber.

"Teknologi digital banyak membantu dan melancarkan aktiviti pengguna.

"Tetapi penyalahgunaan teknologi masih berlaku termasuklah dalam penggunaan Internet dan media sosial oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, sehingga muncul pelbagai jenis ancaman serta jenayah siber," katanya.

Perdana Menteri mahu Keluarga Malaysia memainkan peranan untuk membentuk sahsiah dan mengamalkan kawalan kendiri bagi menyemai serta mengukuhkan kesepaduan komuniti dalam ekosistem siber agar ancaman dan jenayah siber dapat ditangani.

Dalam masa sama mewujudkan persekitaran siber yang positif dan sejahtera.

Selamat Hari Keselamatan Internet 2022. Sentiasa Bijak, Sentiasa Selamat. Bersama-sama ke Arah Kesejahteraan Siber.

Media Baharu