fb fb fb fb fb

Polis Terengganu rampas dadah bernilai RM6.2 juta

FOTO HIASAN

KUALA TERENGGANU, 2 November - Pelbagai jenis dadah bernilai RM6.2 juta yang dirampas bermula 1996 hingga tahun ini telah dilupuskan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata dadah itu dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding telah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah terbabit tamat.

Jenis dadah yang dilupus termasuk heroin, ganja, pil yaba, syabu, ketamin, daun ketum, ubat batuk, eramin 5, dan pil psikotropik.

Jelasnya, kesemua bahan terlarang itu akan diserahkan kepada Kualiti Alam Sdn Bhd, syarikat yang berdaftar bawah Jabatan Alam Sekitar untuk dilupuskan.

"Pelupusan perlu dijalankan oleh syarikat berdaftar kerana barangan kes dadah adalah bahan buangan berjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2005.

"Ini juga menunjukkan ketelusan dan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan tiada barang kes dadah disalah guna," katanya pada Majlis Serahan Barangan Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

TETITIA YUSOFF