fb fb fb fb fb

MBI laksana kaedah ‘hot-in-place’ tampal jalan rosak

Majlis Demonstrasi Kaedah Pembaikan Jalan Menggunakan Teknologi Terkini ' Hot In-Place' di Jalan Ghazali Jawi, di sini, pagi tadi /FB MBII

IPOH, 2 November- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kini melaksanakan kaedah hot-in-place’ bagi menampal jalan yang rosak di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata menerusi kaedah tersebut, tempoh masa pembaikan jalan dapat disingkatkan, selain kualiti tampalan lebih bagus berbanding kaedah konvensional.

Jelasnya, kaedah itu merupakan teknologi terkini yang menggunakan jentera secara pakej, bermakna di dalam kenderaan yang sama ia meliputi peralatan pemanasan, pengorekan, proses penyediaan bitumen aspalt dan jentera pemadatan.

" Ia bukan saja lebih tahan dengan menggunakan kaedah ini kita, 'recycle' balik batu ni, jadi dulu kita kena gunakan yang baru, dengan kaedah ini, kita kurangkan penggunaan kuari baru, jadi untuk jejak karbon kita akan mengurangkan aktiviti kita merosakkan alam terutama gunung batu kapur kita. Sekurang-kurangnya kita boleh kurangkan 50 peratus daripada permintaan baru, kita 'recycle' balik apa yang ada," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Demonstrasi Kaedah Pembaikan Jalan Menggunakan Teknologi Terkini ' Hot In-Place' di Jalan Ghazali Jawi, di sini, pagi tadi.

Rumaizi berkata, kaedah itu akan digunakan di jalan-jalan utama di sekitar kawasan pentadbiran MBI.

Ujarnya, sebanyak 1,200 meter persegi sebulan telah diperuntukkan kepada Puncak Emas Infra selaku syarikat konsesi untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah selenggaraan MBI.

ZEHRA BINTI ZAMBRI