fb fb fb fb fb

Isu "Menara Tanpa Kuali' di Sarawak temui jalan penyelesaian

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 2 November - Isu berbangkit "Menara Tanpa Kuali' atau menara tiada perkhidmatan internet yang berlarutan di negeri Sarawak kini menemui jalan penyelesaian.

Ini menerusi inisiatif perkongsian kos pembayaran kepada pengendali SMART600 antara Kerajaan Persekutuan dengan syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih utama.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menjelaskan, persetujuan yang telah dicapai antara kedua-dua pihak itu bagi memastikan perkhidmatan 4G dapat disediakan kepada komuniti setempat khususnya di kawasan pedalaman Sarawak dengan kadar segera.

"Secara dasarnya Kerajaan Persekutuan dan syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih utama iaitu CELCOM, Digi, Maxis, UMobile, TM Tech dan YTL Communications telah bersetuju untuk berkongsi kos yang perlu dibayar kepada pengendali menara tersebut.

"Untuk makluman pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan dan pihak syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih melibatkan satu jumlah yang tidak melebihi RM207 juta iaitu RM116.4 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Kewangan dan RM87.3 juta oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih untuk menara-menara yang berkaitan bagi tempoh tiga tahun, bermula 2024 hingga 2026.

"Selepas tempoh tersebut syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih akan menanggung sepenuhnya kos bayaran kepada pengendali menara," kata Fahmi di sini.

Menjawab pertanyaan yang dikemukakan wakil Miri, Chiew Choon Man; Fahmi memaklumkan sebanyak 3,000 kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak telah dikenal pasti bakal mendapat manfaat bawah inisiatif berkenaan.

Ini sekali gus menamatkan isu menara tanpa kuali yang telah berlarutan sejak 2019 di negeri itu.

Fahmi berkata, pengoperasian menara-menara bagi penyediaan perkhidmatan 4G  tersebut dilaksana secara berperingkat dan dijangka bermula sebelum atau selewat-lewatnya pada awal Januari 2024.

 

TETITIA YUSOFF