fb fb fb fb fb

Polis sahkan ucapan Fahmi Fadzil tiada sebarang unsur kempen politik

SHAH ALAM, 2 Ogos - Tiada sebarang unsur kempen politik, dalam ucapan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang dilaporkan berlaku di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Ahad lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata ini berikutan selepas hasil penelitian rakaman video berdurasi 12 minit yang mengandungi ucapan Fahmi di masjid berkenaan.

"Pihak polis tidak mendapati sebarang unsur-unsur ucapan kempen, dalam tempoh hampir 12 minit ucapan oleh menteri itu adalah berhubung penerangan beliau berkaitan isu kumpulan muzik The 1975," katanya.

Hussein Omar berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Tambah beliau setakat ini seramai lapan saksi termasuk pengadu dipanggil bagi membantu siasatan.

Pihak polis juga telah mengenal pasti pemilik akaun yang menyebarkan video itu dan usaha mengesan sedang giat dilakukan kerana membuat kenyataan tidak benar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.



Semalam, Fahmi Fadzil yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai itu sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman terhadap pihak yang memfitnahnya dan sedia memberi kerjasama dengan JAIS berkait ucapan beliau ketika berada di sebuah masjid di Rawang pada Ahad.

Sebelum ini, tular gambar Fahmi di media sosial ketika berucap di sebuah masjid.

Bagaimanapun, Fahmi menerusi laman Facebook menafikan dakwaan bahawa beliau sedang berkempen.

Fahmi turut memberitahu dijemput oleh kariah masjid bagi mengulas berhubung isu kumpulan The 1975 dan pembatalan Festival Good Vibes.

ARTIKEL BERKAITAN:
Fahmi sedia beri kerjasama dengan JAIS

Media Baharu