fb fb fb fb fb

Polis pengiring cedera kemalangan ketika bertugas

Foto Fail

ALOR GAJAH, 14 Mac - Seorang anggota polis trafik cedera selepas terbabit dalam kemalangan semasa mengiringi kenderaan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Bulatan Seri Bayan, Durian Tunggal, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Ashari Abu Samah berkata dalam kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira 10.45 malam ketika Sarjan Mohd Tarmizi Manap, 50, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi dalam perjalanan dari Durian Tunggal menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam.

"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki berusia 51 tahun tiba-tiba mengubah laluan dari laluan kiri bulatan membelok masuk ke kanan.

"Kenderaan itu kemudian terlanggar motosikal ditunggangi mangsa menyebabkannya hilang kawalan dan melanggar kereta dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah bertentangan," katanya.

Beliau berkata Mohd Tarmizi yang mengalami luka pada tangan dan kaki dihantar ke Hospital Melaka manakala dua pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan berkenaan katanya sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

TETITIA YUSOFF